MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL BAGI KURSUS ASAS PEMANDU PELANCONG BANDAR SERI BEGAWAN, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Bandar Seri Begawan, 4 Mei 2026
Satu majlis penyampaian sijil telah diadakan bagi 17 orang peserta yang telah berjaya menamatkan Kursus Asas Pemandu Pelancong. Majlis tersebut telahpun diadakan pada 4 Mei 2026 bertempat di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil tersebut ialah Yang Mulia Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Kursus Asas Pemandu Pelancong ini telah dikendalikan selama 10 hari bermula pada 30hb Mac 2026 sehingga 11hb April 2026 yangmana kursus ini merupakan kursus kali ke-18 ianya diadakan. Kursus ini juga adalah salah satu pra syarat bagi Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi mana-mana individu yang berkeinginan untuk menjadi Pemandu Pelancongan yang berlesen di Negara ini.
Seramai 250 orang pemandu pelancong telahpun berdaftar di Jabatan Kemajuan Pelancongan dan menamatkan kursus tersebut setelah Kursus Asas Pemandu Pelancong diperkenalkan semenjak tahun 2016 secara kerjasama diantara pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan dan pihak Laksamana College of Business , iaitu sebuah institusi yang telah dilantik bagi mengendalikan Kursus Asas Pemandu Pelancong di Negara Brunei Darussalam.
Tujuan kursus asas ini diadakan adalah untuk meningkatkan dan memantapkan kemahiran seorang pemandu pelancong dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan memenuhi kehendak piawaian yang telah ditetapkan, memastikan maklumat dan informasi yang disalurkan oleh setiap pemandu pelancong adalah tepat dan betul serta membuka peluang-peluang perkerjaan yang boleh dimanafaatkan oleh penduduk tempatan khususnya di kalangan belia-belia di Negara ini.
Bagi pemandu pelancong yang telah lulus kursus asas tersebut, adalah dikehendaki untuk menghadapkan permohonan ke Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber – Sumber Utama dan Pelancongan untuk mendapatkan Lesen Pemandu Pelancong. Mana- mana individu yang belum berdaftar dan belum mendapatkan lesen Pemandu Pelancong adalah menjadi satu kesalahan jika didapati mengendalikan perkhidmatan Pemandu Pelancong tanpa lesen yang sah atau mengiklankan/menawarkan perkhidmatan pelancongan persendirian dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 20(3) Akta Pelancongan, Penggal 239 iaitu bagi kesalahan pertama, denda tidak melebihi $5,000 dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda dikenakan tidak melebihi $10,000.